Sunday, February 17, 2008

Sambutan Hari Wilayah 2


Panjang sambutan Hari Wilayah tahun ini. Hampir setiap hujung minggu bulan Februari ini diatur dengan pelbagai acara. Hari Sabtu semalam (16/2) ada pertandingan memancing di Persisiran Presint 1. Dan ada acara sampingan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Ramai peserta kali ini, mungkin anak para peserta pertandingan memancing. Kakak dan Adik tidak melepaskan peluang untuk menyertai tapi kali ini rezeki orang lain. Adik awal-awal lagi dah angkat bendera putih, banyak sangat gambar katanya. Kakak berjaya menghabiskan lukisannya tapi warna kurang menyerlah berbanding peserta lain. Saya rasa kagum melihat kebanyakan kanak-kanak tersebut mewarna. Sangat kreatif dan kemas. Kombinasi warna yang cukup menyerlah dan menarik perhatian. Ini antara gambar-gambar yang saya maksudkan.

Kebanyakan mereka menggunakan krayon dan apa yang lebih menarik kerana kebanyakan mereka lelaki. Biasanya tak ramai budak lelaki yang nak masuk pertandingan sebegini. Cukup cantik! Saya rasa saya pun tak dapat mewarna sebegitu cantik dengan menggunakan karyon. Jangan putus asa Kakak, Adik. Teruskan berusaha ya.




















Saturday, February 16, 2008

Cuti Balik Kampung

Perjalanan balik ke Terengganu pada malam Khamis hanya bermula lebih kurang pukul 10 malam kerana Abang perlu menyelesaikan kerjanya terlebih dahulu. Anak-anak mulai bising kerana mereka telah bersiap sedia sejak pukul 6.30 petang lagi setelah balik sekolah agama. Jalan raya agak sesak terutama Jalan Lingkaran Tengah sehingga simpang ke Gua Musang/Kelantan dan selepas tamat Lebuh raya Pantai Timur di Exit Jabor. Sampai di Kemaman, deretan kereta panjang berjela hampir 2 km. Kami selamat tiba di rumah orang tua saya pada jam lebih kurang 4.30 pagi. Eh! Rupa-rupanya Kak Hah dan keluarganya dah terlebih dahulu sampai di kampung. Bulat la mata anak-anak saya bila lihat ada sepupu sama geng di kampung.

Petang Khamis tu sempat juga saya mengunjungi kawan lama, Wan Nuraini yang sedang dalam pantang melahirkan anak ke-4. Dah lama tak jumpa dia sejak dia pindah tahun lalu dari Kajang. Comel anak perempuannya. Dia pun nampaknya sihat, siap sempat bersusah-susah menghidang minum petang untuk kami. Terima kasih, Wan.

Pagi Jumaat pula kami ke pantai demi memenuhi janji kepada anak-anak yang nak bermain pasir pantai dan air laut. Bersarapan di tepi pantai jam hampir 9 pagi. Kebetulan angin bertiup agak kuat pagi itu dan apa lagi, Luqman tak melepaskan peluang menaikkan layang-layangnya. Ibu pun tumpang sekaki... tak pernah saya dapat menerbangkan wau sebelum ini! Kakak dan Adik pun turut terjerit-jerit ketawa seronok dapat memegang tali wau yang dah terbang tinggi melepasi pokok kelapa. Wau tu sebelum ini sentiasa ada dalam boot kereta tapi tak pernah dapat diterbangkan. Rezeki dia la dapat berkhidmat sekali kali ni. Balik dari pantai, Kakak dan Adik minta TokMi tolong potong rambut mereka bila melihat rambut sepupu mereka, Farah dipotong. Terkejut juga saya kerana Adik sebelum ni begitu keras menolak untuk dipotong rambutnya. Sejak umurnya 2 tahun lebih, tak pernah dia berambut pendek. Tengok la rupa mereka selepas berambut pendek paras bahu. Hemm.. lega la Ibu tak lagi susah-susah nak ikat rambut Adik ke sekolah pagi-pagi.

Petang Jumaat, dalam perjalanan nak ke rumah mentua di Kelantan, sempat juga singgah di Pasar Payang untuk membeli batik. Nak tambah koleksi di samping menyahut saranan KSN memajukan industri batik. Manusia.... fuhh! punya la ramai kat atas pasar tu. Peluh menitik dari kepala ke hujung kaki. Tengok orang lain shopping batik kiri kanan tangan pegang beg plastik. Mesti tauke-tauke batik senyum sampai ke telinga senang hati sepanjang 4 hari cuti ni. Kerana niat dah ada, saya sempat juga beli 2 pasang dan 2 lagi untuk kawan yang awal-awal lagi mengirim bila dia tahu saya balik kampung.

Dari Kuala Terengganu, kami terperangkap pula dalam kesesakan jalan di hadapan Bank Negara Terengganu kerana berkebetulan dengan perasmian Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man (yang terkenal dengan Masjid Kristalnya...) dan perkampungan Hadhari di situ. Hampir 10 kali lampu trafik bertukar hijau tapi kereta masih tak bergerak ke mana-mana. Rupa-rupanya jalan ditutup sementara untuk memberi laluan kepada rombongan al-Sultan atau Agong (dilihat dari bendera kuning di kereta yang lalu lepas tu la). Kami sampai di Pasir Puteh, Kelantan lebih kurang 10 malam.

Kami bertolak balik dari Kelantan sebelum pukul 2 petang hari Ahad selepas menghadiri majlis kahwin kawan Abang. Dan seperti yang diagak, jalan sesak teruk. Dari simpang Machang ke Kuala Krai, kereta bergerak macam semut... gila-gila punya sesak. Berhenti sekejap untuk tambah minyak kereta yang dah berkelip-kelip. Sampai di Gua Musang hampir pukul 6 petang. Lepas isi perut, kami teruskan ‘perjalanan makan jem’. Sepanjang-panjang jalan adalah jalan dua hala yang menyukarkan memotong. Jadi apalagi, ramai pemandu yang tak sabar memotong di kiri dan juga kanan. Tak sanggup rasanya nak tengok pemandangan sebegitu. Anak-anak asyik terjerit mengingatkan Ayah berhati-hati memotong. Takut si Ayah tension, saya minta budak-budak tu semua tidur tapi sebelum itu, saya ingatkan semua agar mengucap dulu sebelum tidur. Takut weh! Memanglah doa sentiasa minta dijauhkan dari mara bahaya dan bala bencana tapi itu cuma langkah beringat-ingat...hehehe... (jangan marah ye Abang.)

Tiba di Kuala Lipis, Ayah memilih masuk jalan alternatif ke KL untuk mengelak sesak di Bentong pula. Jalan tu gelap dan penuh dengan belok, turun naik bukit. Entah felda mana yang kami redah masuk. Setelah hampir sejam, akhirnya keluar di Lanchang tapi bulat mata saya melihat kereta yang melaut...seluas mata memandang semuanya penuh dengan kereta! Tak kurang yang dah tersadai melepak di tepi-tepi jalan. Hahaha.. inilah diibarat keluar mulut buaya masuk mulut harimau. Dua kali lima aje sesaknya. Terpaksalah kami teruskan ‘makan jem’ malam tu. Tiba-tiba indikator minyak berkelip-kelip lagi. Biasanya Vios memang jimat minyak. Kali ni belum sampai KL, minta diisi lagi. Jenuh juga saya berdoa dalam hati agar sempat sampai di Hentian Genting Sempah tapi bila sampai di situ, panjang berjela pula kereta yang menunggu. Apalagi, dengan tawakkal Ayah pecut ke KL. Tak henti-henti saya berdoa moga selamat. Alhamdulillah, selamat kami sampai dan isi minyak di Petronas Batu 7.5 Jalan Hulu Kelang. Sebaik berhenti, Ayah terus tidur sementara menunggu kami semua ke bilik air, solat dan beli makanan di kedai Petronas tu. Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah pada jam 2.15 pagi. Jadi tempoh perjalanan balik kami kali ini memakan masa 12 jam lebih! Memang satu perjalanan yang amat memenatkan, juga menakutkan. Tentu Ayah lebih penat kerana perlu fokus dan tak berhenti-henti memandu. Tabik spring pada Ayah yang power tak mengantuk tapi lain kali kita balik ikut Lebuh raya Pantai Timur aje la, ya Abang...

Friday, February 15, 2008

Sambutan Hari Wilayah

(Alamak, sudah masuk minggu ketiga Februari tapi masih tiada cerita untuk bulan ini! Sebenarnya banyak yang hendak diceritakan tapi kebetulan port internet dipinjam orang dan disambung pula dengan balik kampung pada cuti Raya Cina pada 7 hingga 10 Februari, jadi tidak berkesempatan la.)

Sambutan Hari Wilayah di Putrajaya tahun ini memang meriah dan penuh dengan aktiviti yang dirancang rapi. Pelbagai aktiviti dari peringkat Menteri hingga kanak-kanak disediakan (Lihat laman web ppj.gov.my untuk program terperinci). Sempena sambutan tersebut pada 2 Februari 2008, kedua-dua anak perempuanku, Kakak dan Adik, menyertai pertandingan mewarna anjuran Perbadanan Putrajaya. Persiapan dibuat dari malamnya lagi kerana kedua-dua mereka begitu tidak sabar-sabar untuk pergi. Mereka berdua memang sentiasa berminat untuk menyertai program/pertandingan sebegini. Pensel warna ditajamkan, pensel, pemadam, kain lapik tangan disediakan dan kertas lapik mewarna siap-siap diletakkan di dalam beg masing-masing sebelum tidur untuk dibawa esoknya. Pagi-pagi Sabtu esoknya dalam pukul 9 pagi, kami ke tempat acara di hadapan Istana Kehakiman. Luqman tidak mengikut sama kerana lebih seronok menghabiskan masa hujung minggunya di hadapan tv, menonton kartun-kartun kegemarannya yang tanpa henti dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari. Sampai-sampai di sana, kelihatan Y.B. Menteri Belia Dan Sukan (pada masa itu) sedang menunggang basikal merasmikan kayuhan LTDL2008 dari Putrajaya. Boleh tahan juga stamina Y.B. Menteri, sebelum ini juga saya pernah melihat beliau memandu bot laju di tasik Kompleks Sukan Air.

Tiba di tempat pendaftaran, acara baru hendak dimulakan dengan pembahagian kertas mewarna mengikut kategori. Kakak perlu menggunakan krayon sahaja dan Adik menggunakan pensel warna. Ibu bapa tidak dibenarkan berada dalam tempat acara untuk mengelakkan membantu anak-anak. Adik agak terkulat-kulat juga bila ibu atau ayah tiada di sisi kerana biasanya di semua pertandingan yang disertai, salah seorang dari kami akan menunjuk ajar warna apa yang perlu dipilih. Kakak, biasa aje ... cool...

Mula-mula mewarna, Adik kelihatan bersemangat. Warna yang dipilih pun kelihatan baik kombinasinya. Tapi bila masa dah melepasi setengah jam, Adik mula kelihatan hilang tumpuan. Nak ke bilik air la, nak makan roti la dan pegang pensel pun macam orang tak makan 10 hari... mewarna ala kadar aje. Kakak kelihatan kekal bersemangat tapi warna yang dipilih kelihatan kurang menonjol berbanding peserta lain.


Tamat pertandingan, bila keputusan diumumkan, lega juga bila kedua-dua mereka berjaya mendapat hadiah dalam kategori masing-masing walaupun hanya tempat ke-9 dan ke-10. Tapi hadiah yang diperolehi, RM30 dan RM20, rasanya berbaloi untuk usaha mereka selama sejam! Tahniah Adik Kakak! Cuba lagi di lain kali untuk hasil mewarna dan tempat yang lebih baik.