Sambutan Hari Wilayah di Putrajaya tahun ini memang meriah dan penuh dengan aktiviti yang dirancang rapi. Pelbagai aktiviti dari peringkat Menteri hingga kanak-kanak disediakan (Lihat laman web ppj.gov.my untuk program terperinci). Sempena sambutan tersebut pada 2 Februari 2008, kedua-dua anak perempuanku, Kakak dan Adik, menyertai pertandingan mewarna anjuran Perbadanan Putrajaya. Persiapan dibuat dari malamnya lagi kerana kedua-dua mereka begitu tidak sabar-sabar untuk pergi. Mereka berdua memang sentiasa berminat untuk menyertai program/pertandingan sebegini. Pensel warna ditajamkan, pensel, pemadam, kain lapik tangan disediakan dan kertas lapik mewarna siap-siap diletakkan di dalam beg masing-masing sebelum tidur untuk dibawa esoknya. Pagi-pagi Sabtu esoknya dalam pukul 9 pagi, kami ke tempat acara di hadapan Istana Kehakiman. Luqman tidak mengikut sama kerana lebih seronok menghabiskan masa hujung minggunya di hadapan tv, menonton kartun-kartun kegemarannya yang tanpa henti dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari. Sampai-sampai di sana, kelihatan Y.B. Menteri Belia Dan Sukan (pada masa itu) sedang menunggang basikal merasmikan kayuhan LTDL2008 dari Putrajaya. Boleh tahan juga stamina Y.B. Menteri, sebelum ini juga saya pernah melihat beliau memandu bot laju di tasik Kompleks Sukan Air.
Tiba di tempat pendaftaran, acara baru hendak dimulakan dengan pembahagian kertas mewarna mengikut kategori. Kakak perlu menggunakan krayon sahaja dan Adik menggunakan pensel warna. Ibu bapa tidak dibenarkan berada dalam tempat acara untuk mengelakkan membantu anak-anak. Adik agak terkulat-kulat juga bila ibu atau ayah tiada di sisi kerana biasanya di semua pertandingan yang disertai, salah seorang dari kami akan menunjuk ajar warna apa yang perlu dipilih. Kakak, biasa aje ... cool...
Mula-mula mewarna, Adik kelihatan bersemangat. Warna yang dipilih pun kelihatan baik kombinasinya. Tapi bila masa dah melepasi setengah jam, Adik mula kelihatan hilang tumpuan. Nak ke bilik air la, nak makan roti la dan pegang pensel pun macam orang tak makan 10 hari... mewarna ala kadar aje. Kakak kelihatan kekal bersemangat tapi warna yang dipilih kelihatan kurang menonjol berbanding peserta lain.
Tamat pertandingan, bila keputusan diumumkan, lega juga bila kedua-dua mereka berjaya mendapat hadiah dalam kategori masing-masing walaupun hanya tempat ke-9 dan ke-10. Tapi hadiah yang diperolehi, RM30 dan RM20, rasanya berbaloi untuk usaha mereka selama sejam! Tahniah Adik Kakak! Cuba lagi di lain kali untuk hasil mewarna dan tempat yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment