Monday, April 28, 2008

Pertandingan Art-Seed



Cuba teka apa kedua-dua gambar di atas? Haa.. itulah hasil kreatif Kakak dan Adik semasa Pertandingan Art-Seed yang diadakan pada 27 April 2008 hari Ahad baru lepas sempena Promosi Produk Agro: Buah Mangga, anjuran Taman Warisan Pertanian Putrajaya. Yang dalam bekas tu ialah 3 biji mangga yang duanya sedang tersenyum hasil diuli, dipicit dan dihias oleh Adik untuk kategori 7-9 tahun. Yang di bawahnya ialah hasil gam dan hias oleh Kakak untuk kategori 10-12 tahun dengan menggunakan biji-biji benih pelbagai bijirin dan tumbuhan. Temanya : Mangga.


Mulanya Adik dan Kakak agak keliru apa yang perlu dibuat kerana tak faham apa yang dimaksudkan dengan Art-Seed. Tapi setelah diberikan penerangan oleh kakak Taman Warisan Pertanian yang manis tu, mereka tekun cuba mengeluarkan idea kreatif masing-masing dan inilah hasilnya. Tambah manis pula promosi mangga kali ini bila Adik berjaya memenangi tempat kedua.




Nasib Kakak pula berbeza daripada Adik. Kakak perlu cuba lagi di lain kali. Tak apalah Kakak, sekurang-kurangnya Kakak sudah mendapat pengalaman bagaimana nak masuk pertandingan Art-Seed. Bagaimanapun, pada Ibu, hasil Kakak tu dah cukup cantik. Tahniah Adik dan Kakak!

Al-Quran Pertama Adik


Pada hari Jumaat lepas 25042008, sebaik masuk ke rumah sesampai dari sekolah agama, Adik dengan gembira datang membisik ke telinga Ibu..."Ibu, ada sesuatu Adik nak cakap...Adik dah masuk Al-Quran". Maksud Adik bacaan Iqra' nya sudah memuaskan hati ustazahnya jadi ustazah telah meminta Adik cuba membaca Al_Quran pula. Alhamdulillah! Adik berjaya mula pada usia 7 tahun. Dan dengan perasaan seronok, Adik meminta Ayah membelikan senaskhah Al-Quran baru kerana Abang dan Kakak telah mempunyai naskhah masing-masing. Selepas dibeli, sebaik sahaja sampai di rumah, Adik terus mengambil wudu' dan mula membaca Al-Quran baru pilihannya yang berwarna pink! Alhamdulillah... agak lancar bacaannya bagi seorang budak yang baru masuk Al-Quran. Sejuk hati... Ibu doakan semoga sentiasa dirahmati dan diberkati Allah.

Saturday, April 19, 2008

Hari Anugerah Kecemerlangan 2007




Akhirnya, abang Luqman merasa menerima sijil Anugerah Kecemerlangan Akademik berkat doa yang dimakbulkan Allah dan usaha bertungkus lumus sepanjang tahun 2007 membolehkannya memperolehi keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR tahun lepas. Doa ibu semoga anugerah ini memberi abang Luqman semangat dan cabaran untuk berusaha mencapai kejayaan seterusnya dalam hidup. Moga diberkati-Nya sentiasa.


Selepas 6 Minggu

Selepas 6 minggu penat berulang-alik dari Putrajaya ke Bukit Kiara, pada Jumaat lalu 18042008 tamatlah kursus 6 minggu yang wajib diikuti untuk bakal calon pengajian sarjana. Suatu penyudahan yang menggembirakan kerana selain telah dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran baru, rasanya telah dapat menjawab ketiga-tiga kertas peperiksaan dengan baik dan berjaya mendapat 69 rakan baru dalam perkhidmatan awam, di samping mengenali 6 super senior penceramah yang banyak ilmunya. Kemungkinan untuk berjumpa semula kesemua 70 peserta kursus dalam situasi sebegini adalah 99% tipis.
Namun, mungkin dalam tempoh 10 tahun nanti, ada di antara mereka yang menjawat jawatan tinggi seperti Ketua Pengarah, KSU, SUB atau Pengarah mana-mana kementerian, jabatan atau agensi. Mungkin ada yang sudah menjadi Yang Arif... Pada masa itu, dapatlah ku perkenalkan kepada anak-anak yang itu adalah rakan-rakan ibu semasa kursus dulu. Segalanya berkemungkinan, kan... Hanya Allah yang tahu... Buat semua rakan QA3/2008, selamat berjaya menempuh kehidupan baru sama ada bagi yang melanjutkan pengajian di luar negara mahupun dalam negara. Semoga jumpa lagi.

Wednesday, April 16, 2008

Langkah Pertama Ke UiTM

Sebaik sampai di rumah petang semalam 15042008, Kakak (anak perempuanku) dengan perasaan teruja memberitahu Ibu mendapat surat dari UiTM. Segera kubuka dan mendapati ia surat panggilan temuduga untuk pengajian sesi Jun 2008. Memang telah ku sedia maklum temuduga adalah salah satu prosedur kemasukan ke UiTM untuk pengajian sarjana. Tapi apa yang tidak kuduga ialah tarikh temuduganya itu pada hari ini 16042008! What a really short notice! Mungkin mereka ada cuba menghubungiku melalui telefon tetapi tidak berhasil kerana telefon bimbitku dalam mode silent sepanjang hari sepanjang 5 minggu lepas kerana menghadiri kursus.

Tiba di UiTM pada jam 8.15 pagi dengan dihantar oleh cik abang tersayang (terima kasih... kalau bawa kereta sendiri belum pasti dapat tiba seawal itu...). Bermula dengan perlu menulis 1 esei sepanjang 250 patah perkataan, dipilih antara 4 topik yang diberikan. Agak terkial-kial juga memikirkan apa yang hendak ditulis memandangkan dah lama tak mengarang in english ni. Semasa ku tiba, calon lain telahpun 15 minit memulakan penulisan mereka (hehehe... kira lewatlah ku tiba tadi kerana surat memaklumkan sesi bermula jam 8 pagi...). Bagaimanapun, temuduga dengan 2 orang penemuduga (mungkin pensyarah kursus ku nanti) pada jam 10 pagi tadi berjalan lancar bersama-sama 3 orang bakal penuntut yang lain. Inilah langkah pertama ku ke UiTM tahun ini. Semoga berjaya diterima melanjutkan pengajian nanti.

Saturday, April 12, 2008

Cepatnya Masa Berlalu

Tulisan saya sebelum ini tentang mula berkursus di INTAN. Akibat kesibukan berkursus (ditambah pula dengan ada ujian bertulis selang seminggu), tak berkesempatan pula saya nak menambah cerita di sini. Pejam celik, tinggal seminggu sahaja lagi kursus tersebut sebelum saya mula masuk ke pejabat semula. Terasa begitu cepat masa berlalu. Daripada muka-muka asing yang tak pernah dikenali, sekarang sudah terasa keberatan untuk berpisah dengan rakan-rakan kursus yang telah dikenali selama 5 minggu yang akan meneruskan perjuangan mengikut haluan pilihan masing-masing seminggu lagi. Semoga perkenalan ini berterusan.