Sunday, February 17, 2008

Sambutan Hari Wilayah 2


Panjang sambutan Hari Wilayah tahun ini. Hampir setiap hujung minggu bulan Februari ini diatur dengan pelbagai acara. Hari Sabtu semalam (16/2) ada pertandingan memancing di Persisiran Presint 1. Dan ada acara sampingan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Ramai peserta kali ini, mungkin anak para peserta pertandingan memancing. Kakak dan Adik tidak melepaskan peluang untuk menyertai tapi kali ini rezeki orang lain. Adik awal-awal lagi dah angkat bendera putih, banyak sangat gambar katanya. Kakak berjaya menghabiskan lukisannya tapi warna kurang menyerlah berbanding peserta lain. Saya rasa kagum melihat kebanyakan kanak-kanak tersebut mewarna. Sangat kreatif dan kemas. Kombinasi warna yang cukup menyerlah dan menarik perhatian. Ini antara gambar-gambar yang saya maksudkan.

Kebanyakan mereka menggunakan krayon dan apa yang lebih menarik kerana kebanyakan mereka lelaki. Biasanya tak ramai budak lelaki yang nak masuk pertandingan sebegini. Cukup cantik! Saya rasa saya pun tak dapat mewarna sebegitu cantik dengan menggunakan karyon. Jangan putus asa Kakak, Adik. Teruskan berusaha ya.




















Saturday, February 16, 2008

Cuti Balik Kampung

Perjalanan balik ke Terengganu pada malam Khamis hanya bermula lebih kurang pukul 10 malam kerana Abang perlu menyelesaikan kerjanya terlebih dahulu. Anak-anak mulai bising kerana mereka telah bersiap sedia sejak pukul 6.30 petang lagi setelah balik sekolah agama. Jalan raya agak sesak terutama Jalan Lingkaran Tengah sehingga simpang ke Gua Musang/Kelantan dan selepas tamat Lebuh raya Pantai Timur di Exit Jabor. Sampai di Kemaman, deretan kereta panjang berjela hampir 2 km. Kami selamat tiba di rumah orang tua saya pada jam lebih kurang 4.30 pagi. Eh! Rupa-rupanya Kak Hah dan keluarganya dah terlebih dahulu sampai di kampung. Bulat la mata anak-anak saya bila lihat ada sepupu sama geng di kampung.

Petang Khamis tu sempat juga saya mengunjungi kawan lama, Wan Nuraini yang sedang dalam pantang melahirkan anak ke-4. Dah lama tak jumpa dia sejak dia pindah tahun lalu dari Kajang. Comel anak perempuannya. Dia pun nampaknya sihat, siap sempat bersusah-susah menghidang minum petang untuk kami. Terima kasih, Wan.

Pagi Jumaat pula kami ke pantai demi memenuhi janji kepada anak-anak yang nak bermain pasir pantai dan air laut. Bersarapan di tepi pantai jam hampir 9 pagi. Kebetulan angin bertiup agak kuat pagi itu dan apa lagi, Luqman tak melepaskan peluang menaikkan layang-layangnya. Ibu pun tumpang sekaki... tak pernah saya dapat menerbangkan wau sebelum ini! Kakak dan Adik pun turut terjerit-jerit ketawa seronok dapat memegang tali wau yang dah terbang tinggi melepasi pokok kelapa. Wau tu sebelum ini sentiasa ada dalam boot kereta tapi tak pernah dapat diterbangkan. Rezeki dia la dapat berkhidmat sekali kali ni. Balik dari pantai, Kakak dan Adik minta TokMi tolong potong rambut mereka bila melihat rambut sepupu mereka, Farah dipotong. Terkejut juga saya kerana Adik sebelum ni begitu keras menolak untuk dipotong rambutnya. Sejak umurnya 2 tahun lebih, tak pernah dia berambut pendek. Tengok la rupa mereka selepas berambut pendek paras bahu. Hemm.. lega la Ibu tak lagi susah-susah nak ikat rambut Adik ke sekolah pagi-pagi.

Petang Jumaat, dalam perjalanan nak ke rumah mentua di Kelantan, sempat juga singgah di Pasar Payang untuk membeli batik. Nak tambah koleksi di samping menyahut saranan KSN memajukan industri batik. Manusia.... fuhh! punya la ramai kat atas pasar tu. Peluh menitik dari kepala ke hujung kaki. Tengok orang lain shopping batik kiri kanan tangan pegang beg plastik. Mesti tauke-tauke batik senyum sampai ke telinga senang hati sepanjang 4 hari cuti ni. Kerana niat dah ada, saya sempat juga beli 2 pasang dan 2 lagi untuk kawan yang awal-awal lagi mengirim bila dia tahu saya balik kampung.

Dari Kuala Terengganu, kami terperangkap pula dalam kesesakan jalan di hadapan Bank Negara Terengganu kerana berkebetulan dengan perasmian Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man (yang terkenal dengan Masjid Kristalnya...) dan perkampungan Hadhari di situ. Hampir 10 kali lampu trafik bertukar hijau tapi kereta masih tak bergerak ke mana-mana. Rupa-rupanya jalan ditutup sementara untuk memberi laluan kepada rombongan al-Sultan atau Agong (dilihat dari bendera kuning di kereta yang lalu lepas tu la). Kami sampai di Pasir Puteh, Kelantan lebih kurang 10 malam.

Kami bertolak balik dari Kelantan sebelum pukul 2 petang hari Ahad selepas menghadiri majlis kahwin kawan Abang. Dan seperti yang diagak, jalan sesak teruk. Dari simpang Machang ke Kuala Krai, kereta bergerak macam semut... gila-gila punya sesak. Berhenti sekejap untuk tambah minyak kereta yang dah berkelip-kelip. Sampai di Gua Musang hampir pukul 6 petang. Lepas isi perut, kami teruskan ‘perjalanan makan jem’. Sepanjang-panjang jalan adalah jalan dua hala yang menyukarkan memotong. Jadi apalagi, ramai pemandu yang tak sabar memotong di kiri dan juga kanan. Tak sanggup rasanya nak tengok pemandangan sebegitu. Anak-anak asyik terjerit mengingatkan Ayah berhati-hati memotong. Takut si Ayah tension, saya minta budak-budak tu semua tidur tapi sebelum itu, saya ingatkan semua agar mengucap dulu sebelum tidur. Takut weh! Memanglah doa sentiasa minta dijauhkan dari mara bahaya dan bala bencana tapi itu cuma langkah beringat-ingat...hehehe... (jangan marah ye Abang.)

Tiba di Kuala Lipis, Ayah memilih masuk jalan alternatif ke KL untuk mengelak sesak di Bentong pula. Jalan tu gelap dan penuh dengan belok, turun naik bukit. Entah felda mana yang kami redah masuk. Setelah hampir sejam, akhirnya keluar di Lanchang tapi bulat mata saya melihat kereta yang melaut...seluas mata memandang semuanya penuh dengan kereta! Tak kurang yang dah tersadai melepak di tepi-tepi jalan. Hahaha.. inilah diibarat keluar mulut buaya masuk mulut harimau. Dua kali lima aje sesaknya. Terpaksalah kami teruskan ‘makan jem’ malam tu. Tiba-tiba indikator minyak berkelip-kelip lagi. Biasanya Vios memang jimat minyak. Kali ni belum sampai KL, minta diisi lagi. Jenuh juga saya berdoa dalam hati agar sempat sampai di Hentian Genting Sempah tapi bila sampai di situ, panjang berjela pula kereta yang menunggu. Apalagi, dengan tawakkal Ayah pecut ke KL. Tak henti-henti saya berdoa moga selamat. Alhamdulillah, selamat kami sampai dan isi minyak di Petronas Batu 7.5 Jalan Hulu Kelang. Sebaik berhenti, Ayah terus tidur sementara menunggu kami semua ke bilik air, solat dan beli makanan di kedai Petronas tu. Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah pada jam 2.15 pagi. Jadi tempoh perjalanan balik kami kali ini memakan masa 12 jam lebih! Memang satu perjalanan yang amat memenatkan, juga menakutkan. Tentu Ayah lebih penat kerana perlu fokus dan tak berhenti-henti memandu. Tabik spring pada Ayah yang power tak mengantuk tapi lain kali kita balik ikut Lebuh raya Pantai Timur aje la, ya Abang...

Friday, February 15, 2008

Sambutan Hari Wilayah

(Alamak, sudah masuk minggu ketiga Februari tapi masih tiada cerita untuk bulan ini! Sebenarnya banyak yang hendak diceritakan tapi kebetulan port internet dipinjam orang dan disambung pula dengan balik kampung pada cuti Raya Cina pada 7 hingga 10 Februari, jadi tidak berkesempatan la.)

Sambutan Hari Wilayah di Putrajaya tahun ini memang meriah dan penuh dengan aktiviti yang dirancang rapi. Pelbagai aktiviti dari peringkat Menteri hingga kanak-kanak disediakan (Lihat laman web ppj.gov.my untuk program terperinci). Sempena sambutan tersebut pada 2 Februari 2008, kedua-dua anak perempuanku, Kakak dan Adik, menyertai pertandingan mewarna anjuran Perbadanan Putrajaya. Persiapan dibuat dari malamnya lagi kerana kedua-dua mereka begitu tidak sabar-sabar untuk pergi. Mereka berdua memang sentiasa berminat untuk menyertai program/pertandingan sebegini. Pensel warna ditajamkan, pensel, pemadam, kain lapik tangan disediakan dan kertas lapik mewarna siap-siap diletakkan di dalam beg masing-masing sebelum tidur untuk dibawa esoknya. Pagi-pagi Sabtu esoknya dalam pukul 9 pagi, kami ke tempat acara di hadapan Istana Kehakiman. Luqman tidak mengikut sama kerana lebih seronok menghabiskan masa hujung minggunya di hadapan tv, menonton kartun-kartun kegemarannya yang tanpa henti dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari. Sampai-sampai di sana, kelihatan Y.B. Menteri Belia Dan Sukan (pada masa itu) sedang menunggang basikal merasmikan kayuhan LTDL2008 dari Putrajaya. Boleh tahan juga stamina Y.B. Menteri, sebelum ini juga saya pernah melihat beliau memandu bot laju di tasik Kompleks Sukan Air.

Tiba di tempat pendaftaran, acara baru hendak dimulakan dengan pembahagian kertas mewarna mengikut kategori. Kakak perlu menggunakan krayon sahaja dan Adik menggunakan pensel warna. Ibu bapa tidak dibenarkan berada dalam tempat acara untuk mengelakkan membantu anak-anak. Adik agak terkulat-kulat juga bila ibu atau ayah tiada di sisi kerana biasanya di semua pertandingan yang disertai, salah seorang dari kami akan menunjuk ajar warna apa yang perlu dipilih. Kakak, biasa aje ... cool...

Mula-mula mewarna, Adik kelihatan bersemangat. Warna yang dipilih pun kelihatan baik kombinasinya. Tapi bila masa dah melepasi setengah jam, Adik mula kelihatan hilang tumpuan. Nak ke bilik air la, nak makan roti la dan pegang pensel pun macam orang tak makan 10 hari... mewarna ala kadar aje. Kakak kelihatan kekal bersemangat tapi warna yang dipilih kelihatan kurang menonjol berbanding peserta lain.


Tamat pertandingan, bila keputusan diumumkan, lega juga bila kedua-dua mereka berjaya mendapat hadiah dalam kategori masing-masing walaupun hanya tempat ke-9 dan ke-10. Tapi hadiah yang diperolehi, RM30 dan RM20, rasanya berbaloi untuk usaha mereka selama sejam! Tahniah Adik Kakak! Cuba lagi di lain kali untuk hasil mewarna dan tempat yang lebih baik.

Friday, January 25, 2008

SELAMAT HARI LAHIR KE-7, ADIK!

Sejak Adik ke rumah sepupunya untuk sambutan hari lahir sepupunya, Julia pada bulan lalu yang disambut dengan begitu meriah, Adik begitu teruja untuk menyambut hari lahirnya pula. Apatah lagi Adik seolah-olah orang terakhir yang menyambut hari lahirnya dalam keluarga kami jika dikira bermula dari Ibu (September), Kakak (Oktober), Abang (November) dan Ayah (Disember). Apabila semakin hampir... sepanjang seminggu lalu, Adik begitu gembira menunggu-nunggu dan mengira-gira tarikh ini. Semalam 24 Januari 2008, Adik genaplah umurnya 7 tahun.
Sebagaimana biasa kami meraikan hari lahir ahli keluarga yang lain, sebiji kek dibeli diiringi dengan doa selamat. Dan seperti yang Adik bayang-bayangkan, kami berempat memberikan hadiah kecil setiap seorang untuk Adik. Tak disangka-sangka kawan yang baru dikenali beberapa hari di Tahun 1, Izzati turut memberikan hadiah buat Adik. Tahun lalu, hari lahir Adik disambut di tadika dengan meriah oleh kawan-kawan dan guru. Ayah cuma menghantar kek dan goodies yang telah Ibu tempah lebih awal ke tadika kerana Ibu terpaksa menghadiri kursus pada hari itu.
Kakak dan Ibu mengirimkan e-greeting kepada mel Adik (yang Adik telah baca sehari awal...) dan Sustagen Kidz Club juga tidak lupa mengirimkan kad ucapan buat Adik. Tahun lepas, Ibu melukis satu peta seolah-olah mencari harta karun sebelum mendapat hadiah dan kadnya. Tapi kali ini, Adik perlu menjawab empat soalan teka-teki terlebih dahulu untuk mencari tempat hadiah-hadiah itu disembunyikan. Tahun ini, Adik kerana seronok dan gembira dapat menyelesaikan soalan-soalan yang diberi dan dapat menjumpai hadiah dengan cepat.
Adik,
HAPPY 7th BIRTHDAY!
We love you.
Ayah, Ibu, Abang dan Kakak semuanya mendoakan semoga Adik menjadi seorang insan yang cemerlang, sentiasa dilindungi dan diberkati Allah selalu.

Tuesday, January 22, 2008

Cerita Tentang Kakak

Kakak (anak keduaku) komen... tak ada pun cerita pasal Kakak. Jadi, post kali ni saya nak cerita dan masukkan beberapa gambar tentang Kakak sejak kecil sampai sekarang.


Oktober 1999 - Menyambut Hari Lahir tahun pertama bersama-sama hadiah Hello Kitty dari ibu. Masa ni Kakak comel dan bulat pipinya.

27 Disember 2000 - Hari Raya Aidilfitri 1421 beraya di Kajang sahaja. Tak dapat balik kampung kerana saya tunggu masa nak bersalin si Adik. Di Hari Raya tapi pakai baju cheongsam... hehehe... melaram ambik gambar je hari tu kerana tak boleh nak pergi beraya di mana-mana kerana semua adik beradik dan kawan-kawan balik kampung.

(psss...tengok gambar Kakak pakai baju kurung tu. Itu baju pertama yang ibu jahit sendiri tanpa guna mesin jahit langsung...tapi cuma itu satu saja le selama ini... hehehe...)
Akhir tahun 2004 - Masa majlis konvokesyen Kakak tadika 6 tahun. Tersenyum simpul Kakak seronok dah nak cuti panjang sebelum masuk Tahun 1.
Raya 2005 - Januari
Oktober 2005
Raya 2006 - Oktober

Rompin Mac 2007

Sekarang Kakak dah bersekolah di Tahun 4. Dah besar... sampaikan saiz kasut sekolah pun ibu boleh pakai. Senang nak beli kasut dia sekarang sebab ikut saiz kasut ibu aje. Tapi Kakak pulak bengang sebab design kasut cantik-cantik macam Adik tak ada sebab kena beli kat tempat teen or adult. Kesian...

Dan ini beberapa gambar Kakak bersama Abang sejak kecil. Banyak perubahan mereka berdua. Doanya sentiasalah rapat hubungan mereka adik beradik sampai besar nanti. Tolong menolong dan saling membantu.

Sunday, January 13, 2008

Doa Buat Adik Sharlinie

Pertama kali mendengar berita kehilangan adik Sharlinie, hatiku risau tak terkata mengenangkan kerapnya kes culik kanak-kanak sekarang. Sebagai ibu, semakin risau akan keselamatan anak-anak kita. Seolah-olah kebebasan anak-anak kita sekarang dah terhapus. Tidak lagi semacam waktu kita kecil-kecil dahulu. Terkenang masa sekolah rendah dahulu. Balik aje sekolah, selepas makan tengahari dan mengaji al-Quran, bebas bermain ke mana-mana. Kebiasaannya berbasikal mengelilingi bandar kecil ibu bapaku. Tak ada rasa risau..bimbang... tentang culik-menculik. Jika ada sedikit kerisauan, hanyalah takut dilanggar motor atau kereta kerana berbasikal jauh dari rumah. Bebas! Asalkan balik ke rumah sebelum waktu maghrib. Tapi sekarang, anak-anak nak bermain basikal depan rumah sendiri pun, berkali-kali ingatan diberi. Nak ke taman permainan, lagilah dilarang walaupun jauhnya tak sampai 100 meter pun. Risau dan takut menguasai diri terutama ibu. Buat semua, sentiasalah berdoa agar anak-anak, kita dan keluarga sentiasa dilindungi Allah daripada segala mala petaka, mara bahaya, ganguan jin dan syaitan, hasad dengki manusia dan jangkitan penyakit yang bahaya. Buat ibu bapa adik Sharlinie dan keluarga, tabahlah. Semoga adik Sharlinie dipulangkan segera dengan selamat. Buat para pemerintah, tolonglah kaji kenapa berlakunya peningkatan kes jenayah dan tolonglah tingkatkan tahap keselamatan dalam negara Malaysia yang tercinta ini. Semoga tiada lagi kes-kes yang menakutkan sebegini.

Wednesday, January 2, 2008

Hari Pertama Adik Di Tahun 1

ADIK MASUK TAHUN 1! (Alamak rasa kecik lagi anak Ibu ni...) Jam 9 pagi 2 Januari 2008 adalah hari pendaftaran dan orientasi pelajar Tahun 1. Pagi-pagi lagi Adik dah teruja bersiap-siap. Tengok la gambar ni : Adik bersarapan dengan penuh semangat (sedangkan biasanya susah nak makan).

Kakak turut sama seronok Adik dah bersekolah kerana dia ada kawan untuk pergi dan balik ke sekolah. Dengan baik hatinya, Kakak tolong pakaikan kasut untuk Adik. Jenuh jugak pagi-pagi Ibu kena sikat dan ikatkan rambut Adik yang panjang tu. Nak dipotong, Adik tak mahu. Terpaksalah bersiap awal pagi tiap-tiap hari, ikat rambut.
Selepas bayar yuran untuk Tahun 4 (Kakak masuk Tahun 4 dah)(Eh! tak panggil yuran dah sekarang, dinamakan bayaran tambahan pulak... apa nama pun, jumlahnya makin banyak dari tahun-tahun lalu), pelajar Tahun 1 dipanggil berbaris ikut kelas. Nama Adik dipanggil untuk kelas 1 Excellent. Wah! Dengar nama kelasnya gah sekali. Doa Ibu moga-moga Adik pun sentiasa excellent macam nama kelasnya.














Selepas pelajar Tahun 1 masuk ke kelas, ibu bapa kena mendengar taklimat sekolah. Kemudian, barulah boleh bayar bayaran tambahan di kelas anak masing-masing. Apalagi bila dilepaskan serentak macam tu panjang le barisan menunggu di kelas untuk bayar kepada guru kelas.
Lepas dah selesai, kena ambil buku teks percuma pulak (terima kasih Kerajaan) di bilik SBBT. Wah! Lagi panjang berjela barisan nak ambik buku teks. Sampai ke kantin beraturnya. Rasa macam nak pengsan jugak Ibu beratur hari tu. Lebih kurang sejam beratur, dapatlah ambik buku Adik. Alih-alih tak cukup 2 pulak. Kata cikgu, habis stok. Kena tunggu stok baru. Bila ditanya bila stok baru akan dapat, kata cikgu bulan Mac dan nasihatnya, belilah buku aktiviti yang tak cukup tu. Nanti kesian anak tak boleh nak buat kerja sekolah. Hemmm... camna Menteri Pelajaran jamin bekalan buku mencukupi ni?

Adik dengan penuh semangat melihat-lihat isi kandungan buku Tahun 1 sementara Kakak dengan sabarnya menunjukkan kepada Adik apa yang menarik dalam buku teks tersebut. Tapi disebabkan dah kepenatan, hampir tertidur juga Adik di kantin sekolah sementara menunggu Ayah datang ambik.

Petangnya pula, pendaftaran untuk sekolah agama di masjid bersebelahan rumah kami. Tengok! Adik sungguh sopan dengan tudungnya. Alahai!

Nasib juga kelas agama belum mula. Jadi lepas daftar, balik rumah, tak sampai setengah jam Adik dah nyenyak tidur dalam pakaian seragam sekolahnya! Kesian... penatnya Adik...